KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofia menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Islam.
Baginda bertitah, sesungguhnya, kedatangan bulan Syawal ini disambut dengan penuh rasa gembira dan bersyukur di atas nikmat dan rahmat yang telah dikurniakan.
“Mudah-mudahan, segala amalan yang telah dibuat pada bulan Ramadan yang lalu akan mendapat keberkatan dan diterima oleh-Nya,” titah baginda menerusi Facebook.
Baginda turut menyeru semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama untuk meraikan bulan Syawal ini dengan amalan ziarah-menziarahi bagi mengeratkan silaturrahim serta mengukuhkan perpaduan masyarakat.
“Ambillah peluang untuk bermaaf-maafan sesama kita, terutama dalam kalangan ahli keluarga, saudara-mara dan rakan taulan.
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hubungan kita sesama manusia, pasti ada yang tersinggung atau terasa hati. Semoga bulan yang mulia ini meningkatkan perasaan kasih sayang sesama kita.
“Marilah kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga dikurniakan rahmat, keamanan dan kemakmuran yang sempurna lagi berkekalan kepada negara serta semua Bangsa Malaysia. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin,” titah baginda. – MalaysiaGazette