KUALA LUMPUR – Seperti kebiasaan setiap tahun, suasana di Jalan Tunku Abdul Rahman dan kawasan Masjid India bagaikan pesta apabila orang ramai membeli-belah pada saat-saat akhir untuk menyambut 1 Syawal.
Lewat malam tadi, Jalan TAR menyaksikan warga tempatan dan warga asing datang berduyun-duyun menyebabkan gerai-gerai jualan baju Melayu, baju kurung dan biskut menjadi tumpuan.
Keadaan itu menyebabkan gerai-gerai masih meneruskan operasi sehingga jam 2 pagi.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, sehingga jam 3 pagi, ada juga gerai pakaian membuat lelongan.
“Abang mari beli bang, baju Melayu murah RM89 ringgit sahaja abang, harga special untuk malam ini bang,, pagi (Rabu) kita beraya bang.
“Kalau abang pakai baju (baju Melayu) ini, lagi bergaya, beli je bang, lepas terjual nanti, janganlah mai cari menyesal pulak ya,” begitu teriakan seorang pemuda yang begitu bersungguh sungguh untuk menghabiskan produknya.
Selain itu, topi, sampul duit raya berwarna-warni dengan cetakan adiwira, selipar dan songkok serta sejadah juga didapati menjadi barang rebutan warga kota menjelang saat-saat akhir persiapan Aidilfitri.
Bagi melicinkan keadaan lalu lintas, penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kelihatan mengawal lalu lintas di Jalan Tuanku Abdul Rahman.-MalaysiaGazette