Seorang lelaki warga emas tempatan rentung manakala adik lelakinya juga warga emas terselamat selepas rumah mereka hangus dalam kebakaran yang brlaku lewat malam Selasa di Kapar Klang.Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Malang tidak berbau bagi dua beradik warga emas apabila salah seorangnya rentung dalam kebakaran dan seorang lagi terselamat dalam kejadian yang berlaku di rumahnya di Jalan Keretapi Lama Batu,9 Klang, lewat malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, bilik gerakan operasi Selangor telah menerima panggilan kecemasan awam memaklumkan mengenai kebakaran itu sekitar jam 10.26 malam Selasa.

Katanya, bertindak atas panggilan itu sepasukan anggota terdiri daripada 15 orang diketuai Komander Operasi Nurul Azman Muhammadan bersama tiga jentera pemadam daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kapar, Sungai Pinang dan Kota Raja Klang telah dikejarkan ke lokasi.

“Sejurus tiba di lokasi, anggota mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah teres kelas C berkeluasan 25×50 kaki persegi sedang terbakar.

“Angota telah berusaha memadam kebakaran itu sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya sekitar jam 10.46 malam,” katanya selepas dihubungi pagi tadi.

Tambah beliau, seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun berjaya diselamatkan dan dibawa keluar oleh orang awam dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, selepas kebakaran dipadam sepenuhnya, anggota telah melakukan pemeriksaan sebelum mendapati rumah itu musnah 90 peratus dalam kebakaran itu.

“Manakala, pemeriksaan lanjut dan kerja overhoul yang dilakukan sekitar jam 11.23 malam tadi oleh pasukan telah menjumpai mangsa seorang lelaki warga emas yang merupakan abang kandung kepada mangsa terselamat.

“Mangsa dikenalpasti sebagai lelaki tempatan berusia 79 tahun telah mati rentung di bawah timbunan kayu dalam kebakaran rumah itu.

“Punca kebakaran telah dimulakan siasatan oleh pasukan forensik Bomba dan Penyelamat dan mayat telah diserahkan kepada tindakan lanjut polis dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk proses bedah siasat,” katanya. – MalaysiaGazette