Perutusan Tan Sri Razarudin Husain pada sambutan Aidilfitri hari ini.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain meminta warga Polis Diraja Malaysia yang sedang bertugas pada 1 Syawal diminta meneruskan perjuangan dalam menjamin keamanan dan kesejahteraan rakyat dan negara tercinta ini.

Dalam perutusan Aidilfitri 2024, beliau turut mengajak semua warga polis merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana dianugerahkan peluang meraikan hari kemenangan umat Islam setelah berlabuhnya tirai Ramadan Al-Mubarak.

“Kejayaan kita melewati Ramadan bukan sahaja kemenangan melawan hawa nafsu, menahan diri dari lapar dan dahaga semata-mata, tetapi juga sebagai tanda kejayaan umat Islam kembali kepada fitrah sebagai hamba Allah yang bertakwa.

“Kepada warga PDRM yang bertugas semasa musim perayaan ini, teruskanlah perjuangan demi keamanan dan kesejahteraan Malaysia Madani yang kita cintai ini,’ kata beliau dalam perutusan di laman Facebook rasmi PDRM hari ini.

Tambah Razarudin, sesungguhnya segala khidmat bakti yang dicurahkan pastinya memberi imbalan yang terbaik dari Allah SWT di akhirat kelak. Insya-Allah.

Beliau dalam perutusan Aidilfitri turut menyentuh mengenai saudara di Palestin yang sedang berdepan konflik buruk dan dilanda peperangan.

“Tidak putus doa dan harapan jua, buat saudara kita yang berada di Palestin yang dihimpit dan dibelenggu dengan peperangan, penderitaan, serta cengkaman oleh musuh Islam.

“Semoga Allah SWT sentiasa memberi pertolongan dan kemenangan kepada mereka di hari kemenangan kita.

“Akhirul kalam, saya dan isteri mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin” kepada seluruh warga PDRM dan rakyat Malaysia, amnya,” tegasnya lagi.