Gambar Arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul melahirkan rasa dukacita dengan serangan terbaru tentera Israel yang membunuh tiga anak dna cucu kepada pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyah semalam.

Beliau berkata, walaupun rejim Israel terus membedil orang awam di Palestin, namun ia tidak mengubah pendirian Malaysia yang mahukan gencatan senjata dipatuhi serta-merta.

“Saya berasa sedih tapi saya rasa PMX telah jelaskan pendirian kita semalam beliau melawat Jerman

“Kita tidak berganjak dengan itu, tapi apa kita harapkan daripada kerajaan yang ada sekarang di Tel Aviv walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) buat keputusan.

“Selagi negara-negara barat, seperti PMX kata, dwi standard, itulah yang akan berlaku, saya tak tahu apa yang akan jadi,” katanya pada sidang media, hari ini.

Semalam, tiga anak dan tiga cucu pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh dilaporkan terbunuh selepas dibom oleh tentera Israel.

Semua mereka terkorban selepas kereta yang dinaiki mereka di kawasan kem pelarian Al-Shati menjadi sasaran tentera zionis.

Dalam pada itu, Johari berharap Kerajaan Mesir dapat membuka sempadan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan daripada Malaysia disalurkan kepada rakyat Palestin.

“Saya rasa kerajaan komited, cuma tadi Duta Mesir ada di sini, jadi kita minta kalau boleh bukakan sempadan itu.

“Saya difahamkan oleh ahli-ahli Parlimen kita yang melawat sempadan baru-baru ini, lebih kurang 60 hingga 70 trak makanan dan perubatan yang kita hantar tersadai hampir tiga bulan tak boleh masuk.

“Ini sesuatu yang amat mendukacitakan, kita harap sementara kita sedang berhari raya, ini soal kemanusiaan bukan soal Muslim, di Gaza pun ramai yang Kristian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast