KUANTAN – Dua hentian rehat dan rawat (R&R) akan dibina di sepanjang Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di laluan antara Bentong dan Raub serta di Kechau Tui, Merapoh, Lipis tidak lama lagi.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, cadangan tersebut merupakan usaha sama antara kerajaan negeri, Lembaga Lebuhray Malaysia (LLM), dan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi kemudahan pengguna di laluan berkenaan.
Langkah berkenaan juga dilakukan bagi menangani isu sampah di LTU yang berleluasa dilakukan oleh pengguna yang tidak bertanggungjawab membuang sampah di atas jalan.
“Perkara (membina R&R) ini tidak boleh siap dalam masa terdekat, tapi usaha untuk mengadakan R&R itu akan diadakan secepat mungkin.
“Dua lokasi yang sudah diputuskan iaitu di Bentong dan Raub serta di Kechau Tui, Merapoh, Lipis. Kerajaan negeri akan menyediakan tapak yang sesuai bagi pembinaan tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Pahang di Dewan Jubli Perak hari ini.
Bagi tindakan jangka pendek, Flora akan menyediakan tong sampah di laluan berkenaan untuk digunakan membuang sampah.
“Walau bagaimanapun saya menyeru kepada pemandu, seboleh-bolehnya jangan dibuang sampah merata-rata, carilah tempat yang disediakan.
“Sekarang kita sudah sediakan tempat untuk sementara menunggukan R&R siap yang membabitkan pelbagai proses,” tambahnya. – MalaysiaGazette