Tamrin Abdul Ghafar

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Ghafar Baba untuk dirakam keterangan berhubung catatan diblognya yang ‘meramalkan’ masa depan orang Melayu dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, kenyataan daripada Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar akan diambil minggu depan.

“Tamrin masih belum menetapkan tarikh untuk merakam kenyataannya, mungkin minggu depan (panggil dan rekod keterangan),” katanya secara ringkas selepas dihubungi hari ini.

Sebelum ini MalaysiaGazette melaporkan, bekas Ahli Parlimen Batu Berendam itu telah menerima panggilan telefon daripada pihak polis berhubung siasatan membabitkan catatan pada 4 April itu.

Menurut Tamrin, seorang pegawai polis menghubunginya semalam dan memperkenal diri sebagai pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman memohon kerjasamanya berhubung siasatan berkaitan blog itu.

Tamrin dijadualkan berjumpa pegawai penyiasat di Bukit Aman pada jam 10.30 pagi pada Selasa depan.

“Dia tanya saya, bila saya boleh datang untuk memberi kenyataan. Memandangkan hari raya, saya cadangkan sedikit masa minggu depan.

“Saya kata mungkin pada hari raya kelapan atau kesembilan. Tetapi sekarang saya buat keputusan pergi pada 16 April,” katanya.

Dalam catatan di blog beliau pada 4 April lalu, Tamrin berkata,  semua orang Melayu dan raja-raja Melayu mesti sedar bahawa malapetaka akan menimpa mereka jika DAP mengambil alih.

Katanya, dalam kesibukan orang  Melayu  asyik  bercakaran sesama  sendiri  siapa  yang  layak  menjadi  perdana  menteri ,  DAP  dengan bilangan kerusi  Parlimen   yang  terbesar iaitu  42  buah   dalam kalangan Pakatan  Harapan  atau  PH , sebuah  gabungan  parti-parti  PKR , AMANAH  dan  DAP  dan  disokong    pula  UMNO /BN   dan  parti-parti  dari  Sabah  dan  Sarawak.  DAP  sedang  menggembangkan  usaha ke arah menggambil  alih  kuasa  negara.

Boleh ke  kita  bayangkan  22%  DAP  mengusai  70%  Bangsa  Melayu  di Tanah Melayu  ini?, tulis beliau.

Menurut Tamrin, perhubungan  masyarakat  Melayu  dengan  masyarakat  Cina  dan  India  begitu  baik   sekali terutama  di  kampong dan pendalaman,  mereka  hidup  saling  hormat  menghormati  satu  sama  lain  malah  terdapat  masyarat  Cina  dan India  mengundi  PAS

DAP,  parti  yang  ditubuhkan selepas  PAP  dan  Singapura  di keluarkan  dari  Malaysia  sedang  bergiat  melakukan  apa sahaja  tanpa  segan  silu  bagi  mendapat  keyakinan  masyarakat  Cina  dan  India, katanya. – MalaysiaGazette