Tangkap layar dari video yang tular

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia didesak supaya menjalankan siasatan yang telus dan penuh integriti susulan kematian remaja maut akibat cedera parah selepas dirempuh kenderaan polis di Jalan Gangsa Kesang, Durian Tunggal pagi semalam.

Ahli Parlimen Belia Malaysia (APBM) Negeri Melaka, Muhammad Haziq Mohd Nor Hishamudin berkata, ia kerana berdasarkan laporan polis, insiden tersebut berlaku ketika anggota polis dari Balai Polis Durian Tunggal sedang melaksanakan pencegahan aktiviti lumba haram motosikal di kawasan persimpangan lampu isyarat setelah menerima aduan awam.

Namun berdasarkan klip video yang tular, mangsa yang baru pulang dari tempat kerja telah dirempuh oleh sebuah kenderaan PDRM yang memasuki sebuah simpang secara melulu tanpa menyalakan lampu isyarat.

Muhammad Haziq yang juga Ahli Jawatankuasa Keselamatan, Undang-undang & Integriti Parlimen Belia Malaysia berkata, jika terbukti anggota polis yang bersalah, individu yang terlibat perlulah dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal.

“Saya juga memohon agar semua anggota PDRM menjalankan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi berdasarkan segala SOP yang telah ditetapkan oleh PDRM serta tidak melakukan sebarang tindakan berdasarkan emosi semasa agar insiden tidak diingini seperti ini tidak berlaku lagi di masa akan datang.

“Selain itu, saya ingin menasihati para belia untuk memanfaatkan musim perayaan Aidilfitri dengan melakukan aktiviti bermanfaat seperti meluangkan masa bersama ahli keluarga tercinta dan ziarah-menziarahi sanak saudara serta rakan-rakan.

“Jauhkan diri daripada aktiviti yang merosakkan akhlak seperti merempit dan berlumba haram agar insiden tidak diingini seperti ini tidak berlaku lagi di masa akan datang,” pesannya. – MalaysiaGazette

Polis jamin siasatan kematian Khairul tidak berat sebelah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast