Kamil (kiri) bersama Anwar.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik Menteri Kewangan menafikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mengalami masalah kesihatan.

Malah Kamil Munim berkata, sebagai antara individu yang dekat dengan Perdana Menteri mengesahkan keadaan dan tahap kesihatan beliau jauh lebih baik dari sebahagian kita meski diasak dengan jadual yang terlalu padat.

“Untuk sosok yang berumur 76 tahun seperti beliau, adalah biasa untuk kadangkala mengalami sedikit demam atau alahan. Namun, kecekalan, semangat, ketangkasan serta kecerdasan beliau untuk bekerja terus mengampuh, malah untuk kami yang berada di barisan staf dan yang jauh lebih muda ini untuk mengejar pace kerjanya juga kadang-kadang tertinggal.

“Beliau tidak berganjak dari tekadnya untuk merubah negara dan perubahan adalah proses yang mesti ditelan meski memakan masa dan menerima kecaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru Kamil menggesa Polis Diraja Malaysia untuk bertindak terhadap pemfitnah dan beri ruang sebebas yang mungkin kepada pengkritik yang jujur kerana hak demokratik tidak mencakup amalan memfitnah dan rekayasa.

Menurutnya, sepanjang Ramadan dan Syawal, ruang suci ini terus dirempuh dengan hamburan politik yang berbaur fitnah dan rekayasa oleh beberapa watak yang kita sedia maklum punyai dendam yang tidak berkesudahan terhadap Perdana Menteri yang kini gigih mengemudi bahtera negara ke mercu yang lebih tinggi.

Justeru, mesej atau pengajaran dari kedua-dua bulan suci ini tidak menembus dhamir atau nurani mereka untuk memaknainya dengan amal dan sikap yang lebih baik.

“Lebih parah, naratif longkang dan rendah akal ini diperpanjang oleh sebilangan pendukung gerombolan yang mahu menegakkan Islam.

“Ini ternyata mendukacitakan tatkala Islam melarang serta mencegah umatnya dari sebarang unsur fitnah, serta Islam bertegas keras bahawa memfitnah mana-mana insan adalah umpama membunuh insan tersebut. Penegasan ini juga tidak sampai ke benak sebilangan mereka,” katanya.

Ini menurut Kamil, jelas menampakkan keterdesakan mereka untuk mengepung minda masyarakat dengan cerita yang direka-reka serta tanpa asas kukuh dan ini bukti kegagalan mereka untuk membawa sebarang isu yang ampuh ke arah Perdana Menteri dan pentadbiran Madani. – MalaysiaGazette