Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperluas pengambilan calon guru bagi mengikuti latihan pra perkhidmatan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).

Menurut kenyataan KPM, inisiatif itu adalah untuk calon tajaannya bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Program Matrikulasi mulai ambilan tahun 2024.

“Ini merupakan inisiatif KPM bagi membuka peluang kepada lebih ramai calon yang berminat menjadi guru untuk memohon kemasukan ke program PISMP.

“Ia juga dapat memastikan calon terbaik dapat dipilih bagi mengikuti program ini,” katanya.

Menurut KPM lagi, calon yang terpilih akan dilatih di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dalam pelbagai bidang pengkhususan untuk tempoh kursus selama empat tahun.

Tambahnya, inisiatif itu membuktikan komitmen berterusan KPM dalam menangani isu kekurangan guru selain memastikan kualiti calon guru terbaik yang dapat menyumbang kepada agenda reformasi pendidikan negara. – MalaysiaGazette