Nadir muat naik gambar anak-anaknya dua hari lepas sempena sambutan Aidilfitri.

KUALA LUMPUR – Keadaan semakin getir ditambah anak perempuan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman mengalami komplikasi pernafasan memaksa beliau mengeluarkan keluarganya dari Gaza.

Muhammad Nadir berkata, beliau cuba bertahan dengan setiap keperitan dilalui keluarganya, termasuk berdepan bedilan roket tentera Israel setiap hari.

Katanya, keadaan sekitar rumahnya musnah dibom, ada saudara mara meninggal dunia selain pencatuan makanan setiap hari, dengan keluarganya masih cuba bertahan sehingga saat ini.

Namun apabila anak bongsu mereka mula mengalami komplikasi pernafasan sehingga dikejarkan ke hospital beberapa kali selain berhadapan dengan bedilan roket pada tengah malam, beliau memutuskan untuk membawa mereka keluar.

Muhammad Nadir berkata, dalam keadaan kediaman sekitarnya musnah dibom, dengan saudara maranya meninggal dunia selain terpaksa mencatu makanan setiap hari, anak dan isterinya kekal bertahan di sana.

“Kami mula berfikir bahawa mungkin sudah cukup enam bulan kami bertahan. Lebih-lebih lagi apabila Rafah diancam untuk dilanggar oleh musuh durjana melalui jalan darat tanpa belas kasihan.

“Kami menyebutkan mungkin Allah aturkan jihad kami bukan dengan adanya nyawa kami yang perlu dikorbankan,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Jelas beliau, keputusan untuk membawa keluarganya keluar juga diputuskan selepas mendapatkan pandangan dan nasihat daripada ulama di Palestin dan Malaysia, yang mana semua jawapan mereka seragam dan melegakan.

“Tak ada masalah untuk wanita dan kanak-kanak keluar selagi ada niat untuk kembali ke sana apabila keadaan membenarkan. Kami beristikharah dan bertawakal, perjuangan tak akan berakhir tetapi akan diteruskan walau tak berada di medan peperangan,” ujarnya.

Tambah Muhammad Nadir, pada awalnya beliau tiada perancangan untuk membawa keluarganya keluar Gaza sejak perang meletus pada Oktober lalu.

“Saya sebutkan kepada keluarga di sana, bila sampai masanya, paling penting bila hati saya tenang mereka tetap akan keluar juga. Keluar Gaza tidak bermakna perjuangannya akan terhenti,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast