SEPANG – Renteran kejadian tembakan di Terminal Satu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) awal pagi tadi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan tahap keselamatan di pintu masuk negara itu terkawal dan selamat sepenuhnya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, berikutan itu para penumpang yang keluar dan masuk ke terminal tersebut tidak perlu bimbang mengenai keselamatan mereka.
“Lagipun siasatan kami mendapati, itu jelas bukan insiden yang berlaku secara rambang, sebaliknya ia melibatkan sasaran spesifik membabitkan dendam dan agenda peribadi.
“Para penumpang tak perlu risau keselamatan mereka di lapangan terbang, buat masa ini (boleh teruskan urusan penerbangan),” katanya dalam sidang media di hadapan kawasan Balai Ketibaan KLIA1 pagi tadi.
Pada masa sama, tambah beliau, polis akan mengkaji semula tahap kawalan keselamatan di Terminal 1 KLIA1 susulan kejadian tersebut.
Mohd Shuhaily memaklumkan sebab utama beliau bergegas ke lapangan terbang pagi ini untuk bertemu dengan pihak pengurusan tertinggi lapangan terbang (Malaysia Airports Holdings Berhad(MAHB).
“Secara jujurnya kehadiran saya pagi ini mengambil kira perkara tersebut (kaji keselamatan).
“Seperti mana semua sedia maklum, kejadian sebegini bukan kali pertama berlaku di KLIA1, namun begitu untuk kawalan keselamatan lebih khusus dan terperinci sememangnya akan dikajian lanjut selepas ini.
“(KLIA) ini merupakan premis yang dikendalikan oleh pihak swasta dan menjadi sasaran utama dalam insiden tembakan pagi tadi. Jadi, kita (polis) akan duduk bersama dan semak semula secara lebih komprehensif tahap persediaan keselamatan di lapangan terbang ini selepas ini,” ujarnya lagi.
Dalam kejadian sekitar jam lebih kurang 1.30 pagi tadi, seorang lelaki tempatan telah melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya.
Bagaimanapun, satu peluru tersasar dan satu lagi tembakan terkena perut salah seorang dari dua pengawal peribadi mangsa yang berada bersama wanita itu di ruang Balai Ketibaan KLIA.
Siasatan awal polis mendapati, suspek memang mensasar untuk menembak isterinya yang sedang menunggu kumpulan umrah yang mendarat pagi tadi.
Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 kerana memiliki senjata api.- MalaysiaGazette