Tujuh wakil rakyat Thailand menghadiri sidang Parlimen dengan berbusana Melayu, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Penampilan tujuh wakil rakyat Thailand yang menampilkan busana Melayu ketika menghadiri sidang Parlimen merupakan satu contoh yang wajar dipuji.

Pengerusi Inisiatif Madani Serantau, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan itu adalah suatu pembaharuan imej kepada rakyat Thailand dalam mengekalkan kebudayaan Melayu sebagai sebahagian integriti dalam masyarakat negara itu yang perlu dihormati.

“Kami berpendapat adalah wajar kebudayaan Melayu ditonjolkan kerana stigma terhadap masyarakat Melayu di Thailand masih dianggap sebagai kebudayaan asing dan pernyataan pemberontakan terhadap kebudayaan nasional Thailand yang dominan beragama Budha.

“Amat penting masyarakat Melayu mengekalkan kebudayaan etnik sendiri sebagai hak budaya yang perlu dihormati dalam sebuah negara yang demokratik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Azmi, saling menghormati dan memahami antara budaya bagi mewujudkan keharmonian dalam sebuah negara pelbagai etnik adalah penting.

Katanya, mengiktiraf keagaman, budaya dan tidak bersangka negatif terhadap budaya pribumi sesebuah etnik harus diterima baik oleh pemerintah Thailand.

Ujarnya, penghakisan budaya dan penjajahan budaya adalah antara isu penting yang perlu dibahaskan dalam proses damai antara komuniti di negara itu.

“Kami menganjurkan agar dialog kebudayaan diadakan di Thailand dalam rangka membangunkan peradaban Melayu yang kaya dengan nilai dan watak murni di Thailand.

“Konsep saling menghormati dan saling percaya inilah yang sedang diusahakan dalam agenda Malaysia Madani.

“Perkongsian program Madani yang dirangka di Malaysia boleh dikongsikan dengan pihak Thailand dalam rangka membangun rantau yang aman, stabil, makmur dan maju,” ujarnya yang juga Pengerusi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Gaza
Mohd Azmi Abdul Hamid

Mohd Azmi berkata, sudah sampai masanya hidup damai dalam kepelbagaian budaya diiktiraf di Thailand dijadikan dasar dalam pembangunan negara.

Berprasangka negatif dan mencurigai kebudayaan Melayu di Thailand harus di atasi dengan dialog dan memberi ruang yang sihat kepada masyarakat Melayu mengamalkan budaya mereka secara aman dan selesa, jelasnya.

“Kami percaya rantau ini boleh menjadi contoh kepada kehidupan beragam budaya yang unik dan hormani demi membangun komuniti ASEAN yang makmur,” kata beliau. – MalaysiaGazette