GAZA – Israel terus meluaskan serangan daratnya dengan mengebom kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza, membunuh lima dan mencederakan berpuluh-puluh orang lagi di tengah-tengah konflik dengan Iran.

Menurut agensi berita Wafa, Israel juga menyerang kem pelarian Jabalia di bahagian utara.

Antonio Guterres, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa agar perang dihentikan ketika Majlis Keselamatan bermesyuarat untuk membincangkan serangan balas Iran terhadap Israel.

Beliau berkata, dunia tidak mampu berdepan dengan perang lagi di Timur Tengah.

Kabinet perang Israel dilaporkan tidak dapat bersetuju dengan tindakan yang perlu diambil sebagai tindak balas terhadap serangan langsung pertama Iran terhadap negara itu.

Amerika Syarikat pula menolak untuk menyertai Israel melakukan sebarang serangan balas ke atas Iran,

Sekurang-kurangnya 33,729 rakyat Palestin telah terbunuh dan 76,371 cedera dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023.

Angka kematian di Israel akibat serangan yang dimulakan oleh Hamas pada 7 Oktober ialah 1,139, dengan berpuluh-puluh orang masih ditawan. – Agensi