Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Johor kesal dengan gangguan bekalan air yang berlaku di negeri itu semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, gangguan bekalan air yang berlaku setiap tahun itu pastinya telah menjejaskan persiapan bagi menyambut Aidilfitri kepada penduduk setempat.

“Susulan itu, Ranhill SAJ (Syarikat Air Johor) telah diminta membuat persediaan dan tindakan sewajarnya bagi memastikan perkara ini tidak berlaku.

“Bahkan pihak pengurusan tertinggi Ranhill SAJ juga telah memberikan komitmen untuk memastikan tiada isu gangguan bekalan air mahupun catuan air di Johor sepanjang musim perayaan ini,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Onn Hafiz berkata demikian susulan masalah gangguan air yang berlaku di daerah Kulai dan Kluang pada Aidilfitri kali ini.

Beliau berkata, berdasarkan aduan-aduan yang diterima telah menimbulkan persoalan berhubung keupayaan Ranhill SAJ selaku operator bekalan air di Johor dalam menangani gangguan bekalan air yang berlaku saban tahun.

“Susulan itu, kerajaan negeri menggesa pihak Ranhill SAJ untuk segera menangani setiap aduan gangguan bekalan air yang dialami rakyat di negeri ini

“Pihak Ranhill SAJ sewajarnya perlu mengambil tindakan proaktif dan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan ke tahap maksimum demi kesejahteraan bangsa Johor,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast