Anwar Ibrahim berkata sesuatu kepada Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman (kanan).

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa syukur selepas keluarga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berjaya dibawa keluar dari Gaza.

“Penghargaan tidak terhingga buat sahabat saya Presiden Abdel Fattah Al Sisi dan kerajaan Republik Arab Mesir atas kerjasama yang diberikan,” kata beliau dalam perkongsian di Facebook.

Terdahulu, dalam hantaran di Facebook, Nadir turut berkongsi catatan ‘183 Hari Yang Panjang’.

Beliau menyifatkan penyatuannya bersama keluarga disebabkan oleh Anwar yang menjadi watak utama dalam ‘Misi Gila’.

Menurut beliau, sehari sebelum Aidilfitri, dia telah dihubungi Setiausaha Politik Anwar, Farhan Fauzi yang menjadi watak penting yang mengusahakan misi ini.

Katanya, sejak awal peperangan di bumi Gaza, Farhan yang kerap menjemput ke pejabatnya di Putrajaya dan selalu menghubungi bertanyakan keadaan keluarga dan perkembangan di sana.

“Kali ini nadanya berbeza, agak serius dan beliau memaklumkan kami untuk datang ke satu lokasi khas. Saya dan sahabat saya (Dr) Sani Araby MAPIMsaja dibenarkan ke sana! Allahuakbar. Ada apa pula ni? Saat sampai ada kenderaan hitam menanti. Risau juga macam dalam movie.

“Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam. Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan..

“Saya sudah biasa melalui perang di G, melihat kehilangan dan air mata serta cekalnya kehidupan. Tetapi misi ini saya katakan ‘Misi Gila’ kerana bukan mudah untuk dikeluarkan keluarga saya saat bedilan roket dan hentaman bom bertali-arus, malah ketegangan di sempadan juga berlanjutan. Namun secara senyap pemimpin negara menghubungi pihak sana; ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah yang lain.

“Prosesnya cepat, teratur dan lancar walaupun penuh dengan 1001 cabaran tersirat. Kisahnya akan keluar satu demi satu tetapi tak semua saya berhak untuk kongsikan,” cerita Nadir.

Untuk PMX, PMO, (Dr) Sani dan semua pihak yang menjayakan usaha ini samada secara langsung mahupun mendoakan, kami sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga. Semoga Allah sahaja membalas jasa kalian semua, ameen,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast