Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang bayi lelaki berusia enam bulan ditemui mati di rumahnya di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, Beranang dua hari lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Mohamad Nasir Drahman berkata, hasil pemeriksaan pada mulanya mendapati tiada kecederaan di badan mangsa.

Namun selepas dibedah siasat di Forensik Hospital Kajang, pakar mengesahkan kematian bukan disebabkan kemalangan tetapi perbuatan jenayah.

Menurutnya, ia diklasifikasi sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum mati.

“Bertindak atas maklumat pada 15 April lalu lebih kurang pukul 11 malam, sepasukan polis Kajang telah menahan bapa kandung mangsa berusia 25 tahun di perkarangan Hospital Kajang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu.

Permohonan reman telah dibuat ke atas suspek dan Majistret Mahkamah Bandar Baru Bangi telah membenarkan tahanan reman selama tujuh hari sehingga 22 April ini untuk siasatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Supritendan S. Vekram di talian 019-4737108 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette