JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Padang Begonia, Angsana Johor Bahru Mall di sini petang ini sempena Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 peringkat Negeri Johor.
Majlis itu diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri selaku tuan rumah dan Kementerian Pertahanan sebagai kementerian peneraju.
Ia adalah bagi memupuk semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat serta membolehkan pemimpin bertemu dan beramah mesra dengan rakyat.
Sementara itu, menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, negeri itu menjadi negeri pertama kunjungan Perdana Menteri sempena Aidilfitri.
Jelasnya, kunjungan pemimpin utama negara itu ke Johor sudah pastinya memberi kegembiraan kepada penduduk.
“Ini adalah negeri pertama yang dikunjungi Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis sambutan Aidilfitri ini. Terima kasih Perdana Menteri kerana memilih Johor terlebih dahulu untuk sambutan ini.
“Sudah tentu Johor merupakan sebuah negeri yang penuh dengan kemakmuran dan kunjungan ini pasti memberi kegembiraan kepada kita semua,” ujarnya ketika berucap pada majlis yang sama. – MalaysiaGazette