Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR- Kerajaan bersetuju untuk menyaluarkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Menurut Ketua Whip Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof, persetujuan dicapai dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Sri Perdana, Putrajaya semalam.

Tambah beliau, satu deraf Memorandum Persefahaman (MoU) akan dirangka terlebih dahulu dan akan dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah perundingan seterusnya.

“Perkara ini dipersetujui dalam mesyuarat lebih satu jam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta dihadiri oleh pemimpin tertinggi parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, tuntutan peruntukan oleh wakil rakyat pembangkang akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Katanya, ini susulan pertemuan beliau dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Parlimen pada 19 Mac lalu.

Pada 22 Mac lalu Hamzah dilaporkan berkata, pembangkang sudah menerima draf dokumen yang memperincikan perkara berkaitan rundingan peruntukan kepada ahli Parlimennya.

Hamzah mengesahkan perkara tersebut ketika sidang Dewan Rakyat.