PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 10 individu termasuk tiga lelaki warga asing yang direman kerana disyaki mempunyai kaitan dengan lelaki Israel, Avitan Shalom, ditsambung reman bagi membantu siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, mereka merupakan antara 18 orang suspek yang siasat, termasuk Avitan dan pasangan suami isteri yang telah dituduh di mahkamah pada minggu lalu atas kesalahan memperdagangkan dan memiliki senjata api.

“Manakala lima lagi suspek telah pun dibebaskan oleh polis. Sepuluh suspek berkenaan sebelum ini pernah direman untuk membantu siasatan lanjut di bawah Akta Senjata Api 1971.

“Namun reman mereka telah tamat pada 16 April lalu dan semalam sebelum disambung reman lagi di bawah akta mengikut Seksyen 130v (1) Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang,” katanya selepas majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Cheras, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Cheras baharu antara Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin dan Asisten Komisioner Ravinder Singh Sarban Singh.

Menurut Rusdi, kesemua 10 suspek itu kini ditahan untuk 28 hari lagi untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette