Anwar Ibrahim

KAJANG – Tiada syarat yang ditetapkan dalam peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Anwar berkata, perkara tersebut tiada dalam syarat yang dibincangkan pada Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Seri Perdana, Khamis lalu.

“Tidak ada syarat untuk sokong saya (sebagai Perdana Menteri) seperti mana yang didakwa oleh pembangkang.

“Ini perbincangan supaya kerajaan stabil dan kita tumpu kepada pertumbuhan ekonomi yang menjamin kenamaan dan kestabilan,” katanya selepas solat Jumaat di Masjid Bandar Teknologi Kajang, hari ini.

Semalam, Ketua Whip DAP, Nga Kor Ming menjelaskan bahawa peruntukan untuk Ahli-ahli Parlimen pembangkang adalah bersyarat sebagaimana yang diputuskan oleh mesyuarat yang dipengerusikan Anwar.

Kor Ming berkata, syarat-syarat yang akan dikenakan kepada semua Ahli Parlimen pembangkang tidak diperincikan dalam mesyuarat berkenaan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang menerusi mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Seri Perdana kelmarin.

Ketua Whip Kerajaan Perpa­duan itu turut menjelaskan satu MoU akan dirangka serta dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah perundingan seterusnya.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Perikatan Nasional (PN) mahu meneliti semua syarat dalam draf Memorandum Persefahaman (MoU) yang disiapkan kerajaan berhubung peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang. – MalaysiaGazette