KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang dalam perjalanan ke tempat kerja dengan menaiki motosikal cedera apabila beliau diragut di Persiaran Raja Muda Musa, berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Raja Zarina, Klang pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Klang selatan, ACP Cha Hoong Fong berkata, dalam kejadian jam 8.50 pagi mangsa didatangi seorang lelaki yang menunggang motosikal dari arah belakang lalu menarik beg silangnya.
“Akibat perbuatan itu mangsa telahg hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan raya,” katanya menerusi kenyataan sambil menambah laporan polis mengenai insiden itu dilakukan pada jam 4.34 petang hari yang sama.
Menurut Hoong Fong, mangsa mengalami luka di kedua-dua belah tapak tangan, kedua-dua belah lutut serta bahu kiri dan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Tambah beliau, akibat kejadian itu mangsa kehilangan telefon bimbit, dompet dengan wang tunai sebanyak RM114 dan dokumen peribadi selain mengalami keroskan pada motosikal dengan jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM3,000.
Hoong Fong berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan semasa melakukan rompakan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.
Sementara itu, beliau memberitahu, polis mendapati beberapa video yang berkaitan perbuatan suspek tular di laman media sosial.
Berikutan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak menularkan video tersebut bagi meneglak kegusaran ramai.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengtenai insiden tersebut diminta menyalurkannya dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau pergi ke balai polis berhampiran – MalaysiaGazette