KUALA LUMPUR – Polis akan melengkapkan kertas siasatan kes insiden tembak di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1), Sepang 14 April lalu akan disiapkan dalam minggu ini.
Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, kertas siasatan itu kemudian akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Ya, suspek sudah disambung reman lima hari lagi pada pagi tadi.
“Selepas ini kita akan melengkapkan kertas siasatan terhadapnya dan akan dirujuk kepada DPP dalam tempoh reman lima hari ini (cadangan tuduh di mahkamah),” katanya kepada MalaysiaGazette secara ringkas tanpa mengulas lanjut.
Pagi tadi, suspek kes tembak tersebut Hafizul Hawari berusia 38 tahun telah dihadapkan semula di Mahkamah Majistret Kota Bharu di Kelantan sekali lagi untuk perintah sambung reman memandangkan tempoh reman seminggu terhadapnya berakhir hari ini.
Perintah reman terhadap suspek disambung esok sehingga 27 April ini bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan.
Pada Sabtu lalu, Hussein ketika ditemui pemberita di Masjid Negara mengesahkan suspek telah menjelani pemeriksaan kesihatan seminggu sebelum kejadian sebagai persediaan untuk bekerja di Arab Saudi.
Dalam kejadian jam 1.20 pagi itu, suspek telah membaling bom mercun sehingga menyebabkan kecederaan terhadap dua orang awam.
Kemudian suspek telah menghampiri isterinya yang dikawal dua pengawal peribadinya sebelum melepaskan dua das tembakan ke arah wanita itu pada jarak tiga hingga empat meter di Balai Ketibaan Terminal 1 KLIA.
Dalam insiden itu, satu das tersasar manakala peluru kedua telah terkena perut salah seorang pengawal peribadi sekali gus menyelamatkan isteri suspek tersebut yang sedang menunggu jemaah umrah.
Kemudian suspek telah melarikan diri menggunakan kenderaannya yang diletakkan di Tingkat 2, Block C Terminal 1.
Suspek diberkas di tepi jalan beberapa meter dari IPK Kelantan di Kota Bharu, Kelantan pada jam 3 petang sehari kemudian.
Polis menemui pistol semi automatik jenis 9mm itu bersama 33 peluru daripada suspek selepas penahanannya.
Siasatan awal polis mendapati suspek melepaskan tembakan ke arah isterinya kerana agenda peribadi dan dendam. – MalaysiaGazette