Pasukan SAR meneruskan pencarian lelaki terjatuh dalam sungai sejak malam Ahad di Kem Lolo, Hulu Langat.Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam sungai yang terletak di Kem Lolo, Gunung Nuang, Kampung Pangsun, Hulu Langat semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar yang mengesahkan kejadian itu kepada MalaysiaGazette berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang insiden itu pada jam 8.11 malam tadi.

Katanya, bertindak atas panggilan awam itu seramai tujuh anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn serta sembilan ahli Pasukan Multi Skill (MUST) bergegas ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 36 kilometer.

“Sejurus selepas sampai di lokasi, anggota bomba mendapati seorang lelaki berusia 36 tahun dilaporkan telah terjatuh ke dalam sungai tersebut.

“Pasukan bomba telah memulakan gerakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang hilang itu sejak semalam.

“Misi SAR kemudian disambung semula sejak jam 10.15 pagi tadi turut melibatkan malim gunung, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Renjer Hutan dan Jabatan Perhutanan Selangor,” katanya.

Tambah beliau, sebanyak dua pasukan terlibat dalam SAR terbabit yang mana pasukan pertama melakukan pencarian bermula dari Kem Lolo sehingga ‘campsite 1’ ( mengikut aliran sungai).

Manakala pasukan kedua melaksanakan pencarian dari empangan lama ( mengikut aliran sungai sehingga ‘campsite 1‘.

Menurutnya, kedua-dua pasukan itu akan bergabung membuat carian sehingga ke air terjun Bomoh Ali, jarak pencarian meliputi tujuh kilometer untuk menjejaki mangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast