Lazar Sajcic.

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur (KL) City FC terus rancak untuk memperkasakan pasukan apabila kelab itu mengumumkan seorang lagi pemain import baharu mereka.

Pemain sayap dari Croatia, Lazar Sajcic menjadi pilihan sebagai pemain import baharu pasukan The City Boys menjelang musim bharu Liga Malaysia 2024/25 bulan depan.

Perpindahan masuk bekas pemain FC Hegelmann diumumkan menerusi media sosial pasukan itu.

“Anda menanti cukup lama, perkenalkan pemain baru The City Boys! Selamat datang ke ibu negara, pemain perancang Croatia, Lazar Sajcic!” kata kelab dalam hantaran media sosial itu.

Sajcic mampu beraksi di posisi sayap kiri dan kanan sekali gus menjadi salah satu aset utama buat pasukan KL City di bahagian serangan.

Dia juga turut turun berlatih bersama pasukan The City Boys meskipun baru sahaja tiba di negara ini.

Sajcic akan menjadi sebahagian daripada empat pemain import yang akan bermain bersama pasukan KL City  dengan tiga lagi pemain import ialah Giancarlo Gallifuoco, Patrick Reichelt dan Adrijan Rudovic.

Peminat KL City FC mempunyai peluang untuk melihat pasukan itu yang akan turun beraksi menentang Negeri Sembilan FC bagi menentukan pemenang Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2024. – MalaysiaGazette