KUALA LUMPUR – Tiga pekerja cedera termasuk seorang kritikal dalam kejadian letupan gas nitrogen yang berlaku di sebuah kilang di Kota Kemuning hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, bilik gerakan operasi telah menerima panggilan kecemasan mengenai insiden letupan itu pada jam 10.14 pagi tadi.
Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan 12 anggota bersama sebuah jentera penyelamat dan sebuah unit Emergency Medical Rescues Services(EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sejurus sampai di lokasi, pemeriksaan mendapati berlaku letupan membabitkan gas nitrogen di kilang semasa pekerjanya sedang terlibat dalam ujian tekanan gas di kilang tersebut.
“Akibat letupan itu, tiga orang pekerja yang terlibat memeriksa tekanan gas itu mengalami kecederaan,” katanya pada tengahari tadi.
Tambah beliau, dua pekerja mengalami kecederaan separa sedar manakala seorang lagi dilaporkan kritikal.
“Pasukan Hazmat iaitu unit pengesan bahan kimia dari bomba turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi memeriksa lokasi letupan gas nitrogen itu.
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut kami mendapati letupan itu tidak melibatkan struktur bangunan kilang itu dan keadaan terkawal di lokasi kejadian.
“Ketiga-tiga pekerja kilang yang tercedera dalam insiden letupan gas itu sudah dikejarkan ke hospital berhampiran untuk rawatan susulan,” ujarnya.-MalaysiaGazette