KUALA LUMPUR – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan produk kosmetik jenama ZMY Magnetic Aura Night Cream mengandungi racun berjadual iaitu merkuri.

Pengarahnya Rosilawati Ahmad berkata, sehubungan itu notifikasi produk kosmetik tersebut telah dibatalkan tidak lagi dibenarkan untuk dijual.

“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, penjual dan pengedar produk kosmetik tersebut perlu menghentikan penjualan dan pengedaran serta-merta.

“Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar PeraturanPeraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau
kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan pengguna produk tersebut berhenti daripada menggunakannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang
ketidakselesaan atau kesan advers. – MalaysiaGazette