KUALA LUMPUR – Majlis bacaan Yasin dan tahlil kru terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak pagi tadi, dilaksanakan di Masjid Ibnu Battuta, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah.
Dalam hantaran Facebook Markas Pemerintahan Armada Timur, warga Pangkalan TLDM Kota Kinabalu mengucapkan takziah buat seluruh ahli keluarga mangsa nahas insiden tersebut.
“Sesungguhnya pemergian Allahyarham dan Allahyarhamah adalah satu kehilangan besar kepada negara.
“Semoga segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkannya akan mendapat sebaik-baik ganjaran di sisi Allah SWT,” katanya.
Hantaran tersebut turut mendoakan kesemua mangsa dan diiringi dengan surah Al-Fatihah.
“Kami mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan bersemadi bersama orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Dalam hantaran sama, beberapa gambar bacaan Yasin dan tahlil yang diadakan di masjid tersebut turut dimuatnaik.
Terdahulu media melaporkan, tiada mangsa dilaporkan terselamat dalam kejadian dua helikopter milik ATM terhempas selepas bertembung di Pangkalan TLDM Lumut, pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 9 pagi itu berlaku ketika sesi raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 melibatkan pesawat HOM (M503-3) dan pesawat Fennec. – MalaysiaGazette