Suasana di kediaman keluarga Allahyarham Leftenan Komander, Allahyarham Mohammad Amirul Faris Mohamad Marzukhi ketika tinjauaan malaysia gazette di Senawang, Negeri Sembilan. Foto AIZAT ZAINAL, 23 APRIL 2024.

SENAWANG – Rakan kepada Leftenan Komander Mohammad Amirul Faris Mohamad Marzukhi mendedahkan Allahyarham mempunyai niat untuk membuat kejutan kepada isterinya, Siti Aisyah Mohd Roslan  dengan membelikan rumah baharu.

Leftenan Komander Helman Hashim ketika ditemui di rumah Allahyarham berkata, semua dokumen pembelian rumah baharu itu telah disediakan sejak Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Helman berkata, Allahyarham hanya sempat menyerahkan kepada Jabatan Perumahan Kementerian Pertahanan, Selasa lalu.

“Dia (Allahyarham Mohammad Amirul Faris) ada beli rumah kedua. “Saya tidak pasti sama ada isteri Allahyarham tahu atau tidak (niat beli rumah).

“Allahyarham minta saya kirimkan dokumen (beli rumah) ke Jabatan Perumahan Mindef. Dia (Allahyarham) hantar tiga hari sebelum kejadian (nahas helikopter) kepada saya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Katanya, rumah baharu itu terletak di Ipoh.

Helman yang kenal Allahyarham Mohammad Amirul Faris sejak 2007 berkata, rakan baiknya itu memang meminati bidang taktikal udara.

“Kami berkawan baik sejak 2007 dan Allahyarham sangat meminati taktikal udara,” jelas Helman lagi.

Mohammad Amirul Faris merupakan 10 daripada mangsa korban nahas pesawat HOM dan Fennec yang sedang menjalankan raptai Lintas Hormat Sambutan HUT TLDM Ke-90.

Dalam insiden pada jam 9.32 pagi semalam, dua helikopter iaitu Pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang dan pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM Lumut.

Kejadian itu mengorbankan semua mangsa yang ketika itu sedang menjalani raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.

Jenazah Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503 itu akan dikebumikan di tanah perkuburan Forest Height, di Senawang, Seremban.

Mohamad Amirul Faris meninggalkan seorang balu dan dua anak berusia tujuh serta dua tahun. – MalaysiaGazette