Home Nasional Jenazah Muhamad Amir akan dibawa melintasi rumah keluarga

Jenazah Muhamad Amir akan dibawa melintasi rumah keluarga

MUAR – Suasana suram menyelubungi kediaman ibu bapa Pegawai Memerintah Skuadron 502, Allahyarham Komander Muhamad Amir Mohamad di Felcra Bukit Kepong di sini malam ini.

Setakat pukul 7.20 malam, ahli keluarga dan kenalan terus mengunjungi rumah keluarganya bagi menyampaikan ucapan takziah disambut bapanya, Mohamad Borak, 71.

Difahamkan, jenazah yang dibawa keluar daripada Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak pukul 4.35 petang tadi dijangka tiba di sini pada pukul 10 malam ini.

Jenazah kemudian akan dibawa melintasi hadapan rumah keluarga bagi membolehkan kaum keluarga dan kenalan memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham sebelum sekali lagi disolatkan di Masjid Jamek Al Muqorrobin kira-kira 850 meter dari rumahnya.

Jenazah Muhamad Amir yang merupakan juruterbang pesawat Fennec Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang-orang Islam Felcra Bukit Kepong.

Allahyarham yang menyertai TLDM sejak hampir 25 tahun lalu meninggalkan isteri dan tiga anak berusia 16, 14 dan tiga tahun.

Dalam insiden pukul 9.32 pagi semalam, dua helikopter iaitu Pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang dan Pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM Lumut.

Kejadian itu mengorbankan semua mangsa yang ketika itu sedang menjalani raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini. – MalaysiaGazette