Pang Sock Tao calon Kerajaan Perpaduan PRK Kuala Kubu Baharu ketika majlis pengumuman calon PRK Kuala Kubu Baharu di Pusat Khidmat DUN Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. Foto SYADILA AMARI, 24 APRIL 2024.

HULU SELANGOR – Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao diumumkan sebagai calon Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu Pulai pada 11 Mei ini.

Sock Tao, 31, anak kelahiran Ampang, Selangor itu juga pernah menggalas jawatan sebagai Pegawai Tugas-Tugas khas kepada bekas Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam, Yeo Bee Yin pada 2018 selama 22 bulan.

Pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada Majlis Pengumuman Calon Perpaduan PRK DUN Kuala Kubu Bharu di pekarangan Pejabat Khidmat DUN Kuala Kubu Bharu sebentar tadi.

Hadir sama Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo; Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao diumumkan sebagai calon Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini.

Selain itu, Anthony semasa mengumumkan nama calon Perpaduan itu berkata, Sekretariat Perpaduan yang bermesyuarat sebelum ini menekankan beberapa kriteria wajib termasuk mesti calon wanita dan mempunyai kelulusan akademik.

“Calon wanita ini diketengahkan kerana kita menghormati peranan wanita dan dalam politik tidak ramai wanita disebabkan itu kita masih mengekalkan wanita di kerusi DUN Kuala Kubu Bharu.

“Kriteria kedua calon itu mesti berpengetahun, ini kerana rakyat kita semakin terpelajar dan calon ini pula mempunyai Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Kepujian) dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN),” katanya.

Selain itu, katanya, calon mesti mempunyai latar belakang politik dan mampu memberi khidmat kepada semua kaum, boleh jaga Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

“Sebab itu kita pilih Sock Tao kerana beliau bukan sahaja anak muda bahkan mempunyai pengalaman dalam politik selama enam tahun.

“Kami liha calon ini boleh memberi peluang kepada golongan muda yang akan memimpin masa hadapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette