KUANTAN – Seramai 30 penghuni Pusat Pemulihan Narkotik (PUSPEN) Gambang yang mengusahakan Projek Tanaman Pisang Berkelompok sejak awal tahun lalu sedang menantikan hasil pertama projek tersebut.
Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belok Belon berkata, mereka mengusahakan penanaman pisang itu di atas tanah seluas 4.451 hektar.
Menurutnya, projek tersebut adalah di bawah Akaun Amanah AADK melibatkan anggaran kos peruntukan sebanyak RM40,000.
”Sebanyak 4,000 pisang jenis tanduk ditanam secara berkelompok dan sedang menunggu hasil mereka berbuah nanti.
”Projek tanaman pisang ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kepada kakitangan dan penghuni melalui latihan dan vokasional selain daripada memanfaatkan tanah di sini.
”Menerusi projek ini, mereka dilatih dari awal iaitu bermula dengan proses merawat tanah, menanam anak pokok sehingga ke peringkat penjagaan setiap pokok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian kuarters dan projek tanaman pisang berkelompok serta majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri PUSPEN Gambang pada hari ini.
Menurut Sutekno, pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi oleh setiap penghuni boleh dipraktikkan oleh mereka sebagai punca pendapatan pada masa akan datang.
Tambah beliau, projek Tanaman Pisang Berkelompok PUSPEN Gambang berjaya membantu proses kepulihan penghuni pusat itu di samping memberi hasil yang positif kepada semua pihak. – MalaysiaGazette