Sabariah Saidan merasmikan Majlis Pelancaran Projek Celik al-Quran bagi OKU penglihatan peringkat  Pahang di Kuantan hari ini

KUANTAN – Golongan orang kelainan upaya (OKU) tidak pernah diabaikan dan sentiasa mendapat perhatian pihak kerajaan negeri mahu pun pusat.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Sabariah Saidan berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha membantu meningkatkan keperluan golongan berkenaan.

Menurutnya, jumlah keseluruhan OKU berdaftar di negeri ini berakhir Mac 2024 adalah sebanyak 41,898 orang dan daripada jumlah itu seramai 3,737 orang terdiri daripada OKU penglihatan.

“Oleh sebab itu, atas keprihatinan kerajaan negeri dan keinginan untuk melihat nasib golongan OKU di negeri ini tidak terabai, pada tahun 2021 Kerajaan Negeri Pahang telah menggerakkan kempen Jom Daftar OKU,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika Majlis Pelancaran Projek Celik Al-Quran bagi OKU penglihatan peringkat  Pahang di sini hari ini.

Menurut Sabariah, pendaftaran itu penting bagi menjamin golongan OKU di negeri ini tidak tercicir daripada menerima pelbagai bentuk bantuan.

Antara bantuan daripada kerajaan negeri dibuat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), contohnya seperti skim bantuan Elaun Pekerja OKU (EPOKU), Bantuan Pesakit Kronik atau OKU Terlantar (BPT) dan Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB).

Bukan itu sahaja katanya pendaftaran OKU secara lebih khususnya bertujuan untuk mengetahui bilangan, taburan dan kategori OKU bagi maksud merancang program dan perkhidmatan berkaitan dengan pencegahan, pendidikan, habilitasi dan rehabilitasi serta latihan.

Ia juga berobjektif untuk merancang penyediaan kemudahan yang bersesuaian dengan keperluan OKU dan untuk membolehkan OKU yang berdaftar mendapat perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan berdasarkan tahap kefungsian atas ketidakupayaan mereka.

Sabariah berkata bagi peringkat nasional pula, inisiatif bagi membantu golongan OKU penglihatan ialah Projek Mata Hatiku Tabung Pendidikan OKU Penglihatan yang diwujudkan bagi membantu yang akan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Selain itu, dalam Belanjawan Negara pada setiap tahun, jumlah peruntukan untuk pembangunan infrastruktur golongan OKU sentiasa ditambah antara lain bagi menyediakan lebih banyak laluan khas untuk kegunaan golongan OKU penglihatan.

Tambah beliau mulai Januari 2023, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memulakan inisiatif Label Ubat Mesra Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan bagi membantu golongan itu dalam urusan pengambilan ubat di fasiliti kesihatan.

Label itu diwujudkan bagi memudahkan OKU penglihatan mendapat maklumat mengenai ubat dan preskripsi secara cepat dan tepat.

Untuk rekod, statistik OKU berdaftar di Sistem Maklumat OKU (SMOKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dikemas kini berakhir Disember 2023, terdapat seramai 691,427 Orang Kurang Upaya atau OKU yang berdaftar secara rasmi di seluruh Malaysia.

Paling ramai adalah mereka yang dikategorikan sebagai OKU pembelajaran diikuti oleh OKU fizikal.

“Daripada jumlah yang saya sebutkan tadi, seramai 59,072 orang dikategorikan sebagai OKU penglihatan meliputi seramai 37,582 lelaki dan selebihnya iaitu 21,490 orang adalah perempuan.

“Jumlah keseluruhan OKU penglihatan yang berdaftar ini bersamaan dengan kira-kira 0.17 peratus daripada populasi rakyat Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast