Foto: IPD Gua Musang

GUA MUSANG – Seorang lelaki warga emas maut selepas kenderaan dipandunya terlanggar penghadang besi di Jalan Persiaran Raya susur Taman Damar, di sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Sik Choon Foo berkata, dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, Omar Hassan, 85 , yang memandu kereta Proton Saga sedang dalam perjalanan dari arah Bentong, Pahang menghala ke Gua Musang.

“Mangsa maut disebabkan pendarahan banyak susulan kecederaan di bahagian paru-paru. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang di  099121222 atau pegawai penyiasat di talian 013-3010408 bagi membantu siasatan. – Bernama