Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan lawatan di Arab Saudi, foto Pejabat Perdana Menteri

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri lawatan kerja rasmi ke Riyadh, Arab Saudi sempena Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia yang akan bermula hari ini hingga 29 April ini.

Anwar telah dijemput untuk menghadiri mesyuarat itu oleh Putera Mahkota, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud yang juga merupakan Perdana Menteri Arab Saudi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri hari ini, mesyuarat yang bertemakan “Global Collaboration, Growth and Energy Development” itu akan tertumpu kepada isu pembangunan mampan, keselamatan tenaga, perdagangan dan pelaburan serta isu-isu geopilitik semasa.

“Pembukaan mesyuarat akan dimulakan sesi panel yang bertemakan New Vision for Global Development.

“Seterusnya, beliau akan menyampaikan ucaptama dalam sesi Joint Regional Strategy Dialogue on ASEAN- Gulf Cooperation Council (GCC) yang mengetengahkan Kepengerusian ASEAN pada tahun 2025.

“Anwar akan turut menghadiri Country Strategy Dialogue yang membolehkan beliau berinteraksi dengan pemimpin industri dunia untuk mengetengahkan peluang-peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan di Malaysia,” katanya.

Sesi ini khas untuk membolehkan Malaysia mengetengahkan keutamaan strategik dan inisiatif negara, pertumbuhan ekonomi dan fiskal serta peluang perdagangan dan pelaburan.

“Lawatan ke Arab Saudi ini juga bukan sahaja dapat mengukuhkan lagi hubungan di antara kedua-dua pemimpin, tetapi juga hubungan dan kerjasama dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai hal ehwal antarabangsa dan serantau,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette