Abdul Ghani Salleh

HULU SELANGOR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuh dua pasukan penguatkuasa bagi memantau semua aktiviti calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Kuala Kubu Baharu.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya adalah tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5].

Katanya, semua kaedah dan bahan kempen adalah dibenarkan selagi ia tidak mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan termasuk menyentuh isu 3R serta tidak melanggar peruntukan Akta 5 dan undang-undang lain yang berkaitan.

“Tiada had ditetapkan kepada gambar bagi parti politik yang bertanding dan gambar pemimpin parti politik komponen/gabungan/pakatan pada bahan kempen pilihan raya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Ghani, gambar pemimpin parti politik pada bahan kempen termasuklah gambar pemimpin parti politik komponen yang berdaftar secara rasmi atau tidak berdaftar secara rasmi namun, menyokong/bersekutu calon parti politik bertanding boleh digabung atau diletakkan secara berasingan tertakluk kepada bahagian pilihan raya calon/parti politik tersebut bertanding.

Jelasnya, pemimpin yang dimaksudkan adalah individu-individu yang mempunyai apa-apa jawatan di mana-mana peringkat di dalam parti atau parti gabungan/komponen yang berdaftar secara rasmi atau tidak berdaftar secara rasmi.

“SPR berharap agar aktiviti berkempen berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturanperaturan yang ditetapkan.

“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan lancar pada hari ini.

Dalam pada itu Abdul Ghani berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Insolvensi Malaysia, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Penerangan Malaysia, media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung. – MalaysiaGazette