KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad mengemukakan bukti di Mahkamah Tinggi di sini hari ini melalui beberapa salinan dokumen termasuk kad pengenalan lama miliknya bagi mengesahkan nama beliau bukan `Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’.
Bekas Perdana Menteri berkata, dokumen itu termasuk kad pengenalan lama milik isteri dan empat anaknya yang diperoleh dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berserta sijil kelahiran asal mereka.
Menurut Dr. Mahathir, nama sebenar beliau adalah Mahathir Mohamad manakala nama `Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ seperti yang tertera pada kad pengenalan berwarna biru yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak benar.
“Ini adalah kad pengenalan yang sebenar, bukan seperti yang Ahmad Zahid tunjukkan dalam telefon bimbitnya. Kad pengenalan (dahulu) nama pemilik berada di belakang.
“Yang dia tunjuk adalah telefon bimbit bukan kad pengenalan. Dalam telefon bimbit, macam-macam gambar boleh dimuat naik dan ia tidak boleh diterima secara rasmi di mana-mana pun untuk diperakui kebenarannya.
“Saya tak lama ada (memberi keterangan) di mahkamah dan menjawab lebih 800 soalan yang dikemukakan peguam Ahmad Zahid dan saya cuma mengulangi jawapannya,” kata beliau.
Dr. Mahathir menyatakan demikian kepada pihak media selepas memberi keterangan berhubung kes saman fitnah yang dikemukakan terhadap Ahmad Zahid.
Sementara itu, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Dr. Mahathir berkata, anak guamnya telah selesai memberi keterangan secara penuh pada perbicaraan itu.
“Bagi pengetahuan semua pihak, Tun Mahathir telah menjawab lebih 800 soalan dalam pemeriksaan balas tetapi beliau masih utuh berdiri,” katanya.
Mahkamah dijadualkan mendengar keterangan saksi lain termasuk anak lelakinya, Datuk Seri Mukhriz yang juga saksi plaintif, disusuli dengan Ahmad Zahid selaku defendan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 20 Julai 2022, Dr. Mahathir, 99, mendakwa Ahmad Zahid, 71, telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.
Dr Mahathir percaya individu yang dirujuk Presiden UMNO selaku defendan, dalam kenyataan fitnah sebagai ‘orang itu’, ‘dia’ dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepadanya secara spesifik.
Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong.
Dr Mahathir juga mendakwa, kenyataan fitnah Ahmad Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan, dipersoal dan diragui.
Prosiding di hadapan Hakim Gan Techiong bersambung Isnin depan. – MalaysiaGazette















