[GAMBAR FAIL] Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd, Datuk Nasiruddin Mohd Ali bersama 12 lagi lelaki dibawa ke mahkamah hari ini untuk didakwa di bawah pertuduhan mengikut Akta 130V (1) ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 23 OKTOBER 2024. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi Alor Setar telah menolak permohonan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan Ketua Pegawai Eksekutif Nasiruddin Mohd Ali untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar fatwa negeri yang dikenakan ke atas mereka tahun lepas.

Hakim Evawani Farisyta Mohammad telah menolak permohonan GISBH dan Nasiruddin dan membenarkan bantahan Peguam Negara terhadap permohonan GISBH dan Nasiruddin, untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman.

Beliau berkata kandungan fatwa, berlandaskan kepada hukum syarak dan oleh itu ia tertakluk di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah untuk menentukannya dan Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa ke atas fatwa tersebut.

“Penelitian mahkamah ini ke atas relif-relif yang dituntut oleh pemohon-pemohon (GISBH dan Nasiruddin), sebenarnya memohon semakan ke atas kandungan ataupun inti pati fatwa tersebut dan membatalkannya,” kata hakim Evawani dalam alasan penghakiman yang bertarikh 7 Sept.

Beliau berkata fatwa tersebut merujuk kepada individu yang terlibat dengan GISBH dan bukannya GISBH sebagai syarikat itu sendiri.

Hakim Evawani berkata fatwa tersebut, tertakluk kepada kuasa prerogatif Sultan Negeri Kedah dan oleh itu ia merupakan suatu keputusan yang tidak boleh disemak atau diadili melalui semakan kehakiman.

Dalam permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman, GISBH dan Nasiruddin memohon perintah certiorari untuk memansuhkan keputusan yang dibuat responden-responden melalui fatwa tersebut.

Pemohon-pemohon telah menamakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah, Majlis Agama Islam Negeri Kedah dan Mufti Negeri Kedah sebagai responden.

Nasiruddin dan GISBH menyatakan bahawa, kesan daripada fatwa tersebut mengakibatkan operasi dan reputasi mereka dan juga kesemua yang terlibat dengan mereka terjejas dan telah mengakibatkan mereka dianggap mengamalkan ajaran yang sesat.

Peguam Negara membantah permohonan mereka atas alasan fatwa tersebut tidak boleh disemak atau diadili, kerana ia merupakan pelaksanaan kuasa prerogatif raja.

Fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah pada 12 Feb tahun lepas, memutuskan bahawa fahaman, ajaran, pegangan atau amalan yang diamalkan pengikut dan ahli GISBH adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah memutuskan bahawa mana-mana orang Islam yang melakukan perkara bertentangan dengan fatwa itu, melakukan satu kesalahan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 dan boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa di negeri Kedah.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here