Setiausaha Kuil Sri Maha Mariamman Kampung Seri Teratai, Baskaran Irasan menyerahkan memorandum kepada wakil polis berhubung seorang wanita yang menghina kaum India ketika di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 28 APRIL 2024.

HULU SELANGOR – Polis diminta supaya menjalankan siasatan terhadap seorang wanita yang didakwa telah mengeluarkan kata-kata hinaan terhadap kaum India dalam satu pertemuan di sebuah kuil pada 23 Mac, lepas.

Setiausaha Kuil Sri Maha Mariamman Kampung Sri Teratai, I. Baskaran mendakwa, wanita terbabit yang dikenali dengan nama Rafidah telah menyebut “India semua babi” dengan disaksikan tujuh orang pada ketika itu.

Menurutnya, mereka tidak menyangka wanita terbabit sanggup berkata sedemikan dan ia telah menyinggung hati dan perasaan kaum India.

“Apa yang disebut oleh wanita itu sememangnya telah menyentuh isu yang boleh dikaitkan dengan 3R iaitu melibatkan kaum.

“Kami tidak berpuas hati dengan perbuatannya itu dan mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan,” katanya kepada media selepas menghantar memorandum kepada Ketua Polis Kuala Kubu Baharu berhubung perkara berkenaan, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kejadian tersebut, Baskaran berkata, ia bermula apabila satu perbincangan oleh pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman dengan seorang lelaki Bangladesh diadakan berkaitan pembinaan sebuah kuil.

Bagaimanapun katanya, secara tiba-tiba salah seorang daripada tiga wanita yang dipercayai isteri kepada lelaki terbabit yang dikenali dengan nama Rafidah telah mengeluarkan kata-kata kesat itu.

“Kami tak sangka dia boleh bercakap macam itu. Ini telah melukakan hati masyarakat kaum India dan telah menyentuh salah satu daripada isu yang terkandung dalam 3R.

“Ia tidak patut berlaku kerana ia boleh mencetuskan pergaduhan antara kaum dan polis perlu mengambil tindakan mengenainya,” ujarnya.

Baskaran memberitahu, laporan polis juga telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Kuala Kubu Baharu namun, dakwanya tiada sebarang tindakan diambil.

Sehubungan itu, beliau meminta agar pihak berkuasa meneliti semula laporan yang telah dibuat dan bertindak ke atas wanita terbabit di atas keceluparan yang sememangnya tidak boleh diterima. – MalaysiaGazette