Arne Slot. Foto BBC.

LONDON – Nama pengendali Feyenoord, Arne Slot disebut menjadi jurulatih baharu Liverpool bagi menggantikan jurulatih berpengalaman, Jurgen Klopp bagi saingan Liga Perdana Inggeri (EPL) musim hadapan.

Slot dikatakan sudah mencapai kata sepakat dan persetujuan bersama Liverpool. Liverpool perlu membayar pampasan yang agak tinggi kepada Feyenoord bagi merealisaikan perpindahan ini.

Berita perpindahan Slot ke Liverpool tular di media sosial dan turut disahkan wartawan sukan terkenal dalam dunia bola sepak, Fabrizio Romano melalui satu hantaran di laman X.

“Arne Slot akan menjadi ketua jurulatih baharu Liverpool menggantikan Jurgen Klopp pada penghujung musim.

“Perjanjian dimeterai dan pampasan antara Feyenoord dan Liverpool. Semuanya telah ditetapkan juga pada butiran kontrak buat Slot,” kata Romano di laman X.

Slot mengubah Feyenoord dalam segala aspek yang mana pada musim pertamanya beliau menggabungkan pemain yang disegarkan semula dan pemain yang dipinjamkan dan pemain yang memiliki harga murah.

Menerusi barisan pemain tersebut, Slot berjaya membawa Feyenoord mara ke final Liga Persidangan Eropah sebelum tewas tipis kepada jaguh Itali, AS Roma. – Agensi