Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Na'im Mokhtar bercakap pada media ketika selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) & Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) sempena Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran di Masjid Wilayah Persekutuan. Foto SYADILA AMARI, 05 MAC 2024,.

SHAH ALAM – Tabung Haji (TH) komited menyampaikan perkhidmatan yang terbaik dan menjaga kebajikan jemaah haji walaupun kos meningkat setiap tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia terbukti dengan inisiatif TH  menyediakan program pembangunan jemaah haji yang lengkap.

“Tidak dapat tidak, kos haji sememangnya terkesan dengan peningkatan setiap tahun atas faktor-faktor di luar kawalan TH seperti kadar inflasi, cukai nilai tambah (VAT), peningkatan caj perkhidmatan Arab Saudi, kos pasca Covid-19 serta pembangunan pesat di Mekah dan Madinah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penutupan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor Musim Haji 1445H/ 2024M yang disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut mencemar duli ke Tengku Permaisuri, Tengku Permaisuri Norashikin.

Na’im menasihatkan para jemaah haji supaya mempersiapkan diri daripada aspek fizikal, emosi dan ilmu pengetahuan sebelum berangkat ke tanah suci tidak lama lagi.

Tambahnya, TH turut menyediakan bantuan sokongan dalam bentuk aplikasi bagi memudahkan para jemaah sepanjang berada di tanah suci iaitu THhujjaj, e-Bimbingan dan e-TAIB.

“TH turut mempergiatkan inisiatif digitalisasi dengan memperluaskan perkhidmatan dalam talian bagi kemudahan jemaah haji, selari dengan situasi dan keperluan semasa.

“Kerajaan Arab Saudi juga turut membangunkan pelbagai inisiatif digitalisasi berkaitan ibadat haji,” katanya lagi.

TH akan menguruskan seramai 31,600 orang jemaah haji ke tanah suci pada tahun ini, meliputi peruntukan Bantuan Kewangan Haji sebanyak RM350 juta. – MalaysiaGazette