Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercakap kepada media pada program jelajah Bpn Selangor dan Adun Bersatu bahagian Tanjong Karang di Warung Nasi Lemak Pak Anjang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 10 MAC 2024.

KUALA KUBU BAHARU – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menempelak kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meramalkan DAP akan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Azmin berkata yang menentukan kemenangan DAP adalah pengundi di Kuala Kubu Baharu dan bukannya Mahathir.

“Itu pandangan Tun Mahathir. Yang menentukan kemenangan adalah pengundi di Kuala Kubu Baharu, apa yang sedang dilakukan oleh parti yang bertanding adalah kita turun ke bawah memberikan penjelasan dan meyakinkan pengundi-pengundi tentang dasar perjuangan parti masing-masing.

“Akhirnya pengundi yang akan tentukan dan saya yakin pengundi hari ini cukup matang khususnya anak muda yang ada akses kepada maklumat melalui internet dan sebagainya,” katanya kepada media ketika ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu 30 Hulu Yam, lewat malam tadi.

Azmin diminta mengulas kenyataan Mahathir yang meramalkan DAP akan menang PRK Kuala Kubu Baharu, kerana undi pengundi Melayu berpecah.

Mahathir berkata, kemunculan parti-parti serpihan Melayu telah memecahkan undi pengundi Melayu.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, PN tetap menghormati Mahathir sebagai seorang pemimpin.

Bagaimanapun, Azmin berkata, betapa hebatnya sesebuah parti itu tidak boleh diukur dengan sentimen akar umbi dan situasi semasa kempen.

“Kita hormati pandangan Mahathir tetapi dalam situasi semasa kita harus berada di lapangan, kita tidak boleh pisahkan dengan sentimen dan aspirasi rakyat di bawah.

“Saya kira macam mana hebat pun sesebuah parti itu, dia kena turun balik ke akar umbi untuk bertemu rakyat berikan penjelasan dan ini yang sedang kita lalukan.

“Akhirnya kita mengharapkan mereka beri sokongan kepada kita,” katanya.

DUN Kuala Kubu Baharu merupakan kerusi campuran dengan pengundi Melayu membentuk 46 peratus, pengundi Cina 30 peratus, pengundi India 18 peratus dan lain-lain 5 peratus.

PRK itu menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang calon bebas.

Pang Sock Tao dari DAP akan mempertahankan kerusi itu daripada cabaran Khairul Azhari Saut (Bersatu), Hafizah Zainudin (PRM), dan Nyau Ke Xin (Bebas). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast