Tukang gunting rambut dan pemandu lori antara lima ditahan bersama ganja di Hulu Bernam semalam.Ihsan IPD Hulu Selangor

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan ‘Geng Bob’ , satu sindiket yang menjadikan mukim Hulu Bernam sebagai pot pengedaran dadah secara aktif sejak lapan bulan lalu.

Lima suspek lelaki itu telah ditahan bertindak atas maklumat awam dan risikan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya telah melancarkan satu serbuan sekitar jam 10.50 malam di kawasan perumahan di Hulu Bernam.

“Polis juga merampas tiga ketulan mampat daun kering disyaki ganja anggaran berat 2.5 kilogram yang disimpan di bumbung siling dan atas almari pakaian rumah yang diduduki suspek-suspek itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Siasatan awal mendapati kesemua suspek berusia lingkungan antara 21 hingga 59 tahun dan tiga daripadanya mempunyai ikatan kekeluargaan manakala dua lagi suspek adalah kenalan mereka.

Salah seorang suspek adalah penganggur manakala empat lagi bekerja sebagai tukang gunting rambut, pemandu dan kelindan lori.

“Semakan awal polis mendapati tiga daripadanya memiliki lapan rekod kesalahan jenayah dan dadah.

Nilai keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM7,762.40 dan dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan di sekitar Hulu Bernam.

Tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 bagi dengan menyita tiga buah motosikal Yamaha 125YZ milik suspek bernilai RM21,000 dalam tangkapan tersebut,” katanya lagi.

Semua suspek berkenaan sedang direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 5 Mei depan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.- MalaysiaGazette