SHAH ALAM – Pasukan bomba mengambil masa lebih sembilan jam untuk memadam kebakaran membabitkan sebuah kilang memproses cat di Taman Perindustrian Meru, dekat sini hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya melaksanakan operasi overhaul bermula 11.30 pagi dan kerja-kerja memastikan sisa bara kebakaran dipadamkan sepenuhnya berakhir 3 petang.
Beliau berkata, 39 pegawai dan anggota bersama jentera dari 10 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) antaranya BBP Kapar, BBP Klang Utara dan BBP Andalas bergegas ke lokasi kejadian bagi mengawal kebakaran selepas mendapat panggilan kecemasan pada 6.35 pagi.
“Kerja pemadaman turut melibatkan pasukan dari BBP Pelabuhan Klang, BBP Kota Raja, BBP Shah Alam, BBP Bukit Jelutong, BBP Rawang, BBP Pulau Indah, BBP Damansara dan bantuan bomba dari Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan terkini insiden kebakaran itu di sini hari ini.
Wan Md Razali berkata, operasi pemadaman tiga unit kilang berserta pejabat berkeluasan lebih 10,500 meter persegi itu turut melibatkan bantuan jentera dari Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) BBP Shah Alam.
Sebuah kilang memproses cat musnah dalam kebakaran di Taman Perindustrian Meru, dekat sini pagi tadi namun tiada sebarang kehilangan jiwa atau kecederaan direkodkan. – BERNAMA