Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard mengaku tidak salah terhadap dua tuduhan melakukan jenayah fitnah dan hasutan di Mahkamah Siber di sini hari ini.

Sebaliknya Chegu Bard memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali.

Mengikut kertas pertuduhan, beliau itu didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah di mana mempunyai sebab untuk merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Kesalahan didakwa dilakukan di Istana Negara pukul 6 petang pada 22 Januari lalu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa kepada hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Chegu Bard juga berdepan tuduhan membuat penerbitan menghasut di Taman Bukit Cheras, di sini, jam 12.15 tengah hari, 6 April lalu.

Pendakwaan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Syed Faisal Syed Amir, mencadangkan jaminan RM20,000 kepada Chegu Bard bagi setiap tuduhan dengan seorang penjamin.

“Selain itu, pendakwaan memohon perintah larangan supaya pihaknya dan tertuduh tidak mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan umum di mana-mana platform media sosial hingga kes selesai.

“Perintah larangan perlu bagi memastikan perjalanan kes tidak dikacau ganggu,” katanya hari ini.

Manakala peguam mewakili Chegu Bard, Muhammad Rafique Rashid Ali menyifatkan cadangan jaminan itu sebagai terlalu tinggi selepas mengambil kira jumlah denda dikenakan jika disabit kesalahan atas pertuduhan berkenaan.

Kata beliau, anak guamnya yang sudah berkahwin dan ada empat anak termasuk tiga yang masih bersekolah dan yang bongsu ada kad orang kelainan upaya (OKU).

“Perintah yang dimohon pula tidak khusus dan kes ini berkepentingan awam. Perintah ini juga tidak berperlembagaan dan rakyat Malaysia ada kebebasan untuk membincang sesuatu perkara secara terbuka mengikut undang-undang.

“Dengan rendah diri, mohon Yang Arif dapat pertimbang perkara ini,” ujarnya.

Hakim kemudian membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan namun menolak cadangan perintah larangan dimohon pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Mei ini.

Terdahulu Chegu Bard hadir bergari dan memakai set baju Melayu lengkap dikawal ketat polis sebelum dibawa masuk lobi mahkamah pukul 9.20 pagi.

Beliau ditahan di Tapah, Perak malam tadi.

Chegu Bard sempat memberi salam dan mengucapkan selamat Hari Raya kepada pengamal media yang mengambil foto dan videonya.

Semalam, Rafique berkata, anak guamnya itu akan berdepan pertuduhan mengeluarkan kenyataan memfitnah dan menghasut.

Kenyataan itu membabitkan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan yang menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Kee Kan memohon maaf kepada baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah ‘Allah’ di beberapa cawangan kedai serbaneka itu. -MalaysiaGazette