Petugas unit vektor Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan kerja-kerja penyemburan asap di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Menara City One untuk mencegah pembiakan nyamuk Aedes ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,321 kes demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi Ke-16 antara 14 hingga 20 April berbanding 1,698 kes
pada minggu sebelumnya dengan kematian.

Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan pada tempoh itu adalah sebanyak 50,650 kes berbanding 35,202 kes bagi tempoh sama tahun 2023.

Manakala terdapat 39 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 22 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-16 adalah sebanyak 80 lokaliti berbanding 107 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Dari 80 lokaliti yang dilaporkan, 67 adalah di Selangor, tujuh di Kuala Lumpur & Putrajaya, masing-masing dua di Perak dan Kedah serta satu kes di Pulau Pinang dan Sarawak.

Bagi survelan chikungunya, tiada kes direkodkan minggu tersebut dan jumlahnya kekal 23 kes.

Manakala bagi survelan zika, sebanyak 795 sampel darah dan enam sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Muhammad Radzi menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan langkah pencegahan denggi dengan memastikan persekitaran bebas dari bekas-bekas yang berpotensi pembiakan nyamuk aedes. – MalaysiaGazette