Sejak diperkenalkan pada 2016, pengguna BizApp terus berkembang dengan nilai transaksi kasar (GMV) sebanyak RM3.8 bilion.

KUALA LUMPUR – Penyedia platform perdagangan sosial, BizApp menyasarkan 3,000 pengguna aktif baharu terdiri dalam kalangan usahawan menggunakan sistem aplikasi pembayaran perniagaan secara dalam talian menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BizApp Ventures Sdn Bhd, Mohd Taib Pardi berkata, aplikasi tersebut telah digunakan oleh 700,000 pengguna dengan nilai transaksi kasar (GMV) sebanyak RM3.8 bilion sejak dilancarkan pada 2016.

Menurutnya, ketika ini, seramai 50,000 pengguna aktif dikenal pasti dan sejak dilancarkan, BizApp telah membantu 700,000 pengguna yang mempunyai produk dan menggunakan aplikasi itu untuk urusan jual beli dan selebihnya melalui sistem lantikan ejen.

“Sejak diperkenalkan pada 2016, pengguna BizApp terus berkembang dengan nilai transaksi kasar (GMV) sebanyak RM3.8 bilion.

“Justeru menerusi perkembangan pesat dunia perniagaan hari ini, BizApp mengorak langkah menawarkan sistem dalam talian yang dikenali sebagai Bizappay dalam usaha mempromosikan kaedah menerima dan membuat pembayaran perniagaan secara dalam talian.

“Ini terbukti mampu membantu para peniaga menerima pesanan sepanjang 24 jam tanpa henti dan pada masa yang sama ia turut membantu usahawan terhindar daripada penipuan (scammer). Melalui kaedah tersebut, para peniaga luar bandar turut berpeluang mendapat kemudahan dan keselamatan yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis BizApp Raya dan Cabutan Bertuah di sini semalam

Hadir sama, Ketua Pegawai Teknologi BizApp, Hasnol Mizam, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Commerce Asia, Ganesh Kumar Bangah, Pengarah CommercePay, Kuna Kathigesan dan Pengarah Kanan Komersil PayNet, Azrul Fahzan Mainor.

Pemenang utama menerima sebuah kereta Perodua Axia dalam majlis penyampaian hadiah kempen ‘Go Cuba Bizappay with FPX’.

Sementara itu, Mohd Taib menambah, BizApp turut menyediakan program khidmat nasihat perniagaan buat usahawan yang memerlukan bantuan dari segi perkembangan perniagaan.

“Kami lakukan pembaharuan ini dengan mengadakan bengkel dan kelas latihan keusahawanan, membangunkan pasukan jualan dan ejen bagi pemasaran,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd. Taib menambah, kempen BizApp yang disokong oleh Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) serta berkolaborasi bersama CommercePay (CAP) tersebut merupakan satu inisiatif pendedahan pembayaran digital kepada komuniti pinggir bandar dan luar bandar.

“Menerusi kempen, para peserta berpeluang memenangi hadiah menarik termasuk sebuah kereta Perodua Axia dan enam unit telefon pintar jenama iPhone 14 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM70,000.

“Sepanjang kempen berlangsung, kami menerima sebanyak 3,000 penyertaan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 20 buah syarikat telah disenarai pendek dan hanya tujuh syarikat yang terpilih ke peringkat akhir dan menerima hadiah melalui cabutan bertuah,” jelasnya.

Pada majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif Goreng Pisang Crispy (GPC) Network Sdn Bhd, Hairul Hafizi Johari muncul sebagai pemenang utama sebuah kereta Perodua Axia dalam majlis penyampaian hadiah kempen ‘Go Cuba Bizappay with FPX’. – MalaysiaGazette