Ihsan Foto: Facebook MAIWP

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini melancarkan projek Mobile Lab Internet 2 dalam usaha memastikan anak-anak golongan asnaf tidak tercicir.

Menteri Agama, Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar berkata, MAIWP memperuntukkan RM1.2 juta untuk program yang merupakan kesinambungan daripada projek Mobile Lab Internet 1 yang beroperasi tahun 2021.

Tambah beliau, sebahagian besar peruntukan tersebut digunakan untuk pelbagai pembiayaan pemilikan bas dua tingkat berharga RM500,000, kerja-kerja ubahsuai dan permit melibatkan perbelanjaan sebanyak RM400,000.

“Pelaksanaan Mobile Lab Internet 2 ini bertujuan untuk memastikan anak-anak golongan asnaf ini tidak tercicir berbanding kanak-kanak seumur mereka yang lain,” katanya ketika berucap pada majlis Rahmah Syawal MAIWP: Jalinan Aidilfitri bersama Asnaf, di sini, hari ini.

Mohd Na’im berkata, projek tersebut juga dapat memberi perkhidmatan internet, pendedahan terhadap teknologi serta perkhidmatan pendidikan kepada para pelajar khususnya di Wilayah Persekutuan.

Pada majlis itu, MAIWP menyalurkan bantuan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada 32,350 asnaf dengan jumlah peruntukan melebihi RM16 juta. – MalaysiaGazette