Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Hari Pekerja 2024 anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Perak di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 30 APRIL 2024.

IPOH – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendapati masih terdapat majikan di negara ini yang gagal mematuhi pelaksanaan perintah gaji minimum RM1,500 walaupun ia sudah mula berkuat kuasa sejak dua tahun lalu.

Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, kira-kira 10 peratus majikan di negara ini tidak berbuat demikian seperti mana yang dimaklumkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sewaktu membentangkan Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif di Dewan Rakyat tahun lalu.

Menurutnya, bagi memastikan gaji minimum ini dilaksanakan, kerajaan perlu mengambil langkah lebih tegas terhadap majikan yang berbuat demikian dalam menangani isu berkenaan.

“Pelaksanaan gaji minima perlu ada kerana banyak majikan boleh ambil kesempatan dengan gaji tidak konsisten terhadap pekerja.

“Matlamat asas gaji minima adalah untuk mengurangkan kebergantungan kita kepada pekerja asing selain mengelakkan diskriminasi di tempat kerja sama ada melibatkan kaum ataupun jantina,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan Hari Pekerja 2024 MTUC Perak di Hotel Kinta Riverfront di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Intergrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan dan Pengerusi MTUC Perak, Mohd Radzuan Zakaria.

Penguatkuasaan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 bermula 1 Mei 2022 menetapkan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih. – MalaysiaGazette