Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, turut hadir ke 4 buah rumah pengundi yang sakit kronik di sekitar kawasan Taman Tanjak, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 1 MAY 2024.

HULU SELANGOR – Pakatan Harapan (PH) tidak pernah memulakan untuk mempersoal kelayakan akademik calon Perikatan Nasional (PN), bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Khairul Azhari Saut.

Sebaliknya, perkara itu dipersoalkan oleh netizen lantas dibangkitkan di media sosial, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Bagaimanapun, PN telah mengalih perhatian apabila mempersoalkan pula kelayakan yang dimiliki oleh calon PH dan telahpun dijawab menggunakan fakta.

“Kami tidak pernah mengatakan bahawa kelayakan akademik mereka tidak sah.

“Ia dibangkitkan dalam media sosial oleh netizen, jadi saya fikir setakat ini calon jika anda mempunyai kelayakan yang sepatutnya, jangan risau nyatakan fakta,” katanya.

Beliau mengulas mengenai serangan PN terhadap calon PH, Pang Sock Tao berhubung kelayakan akademik yang dimiliki olehnya.

Terdahulu sebelum ini, Sock Tao menjawab pertanyaan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berhubung status pendidikannya di peringkat rendah dan menengah.

Sock Tao menerusi hantaran di Facebook memuat naik gambar salinan kedua-dua keputusan sijil peperiksaan iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dipersoalkan oleh Ahmad Fadhli itu.

Berdasarkan pemerhatian, keputusan bagi kedua-dua peperiksaan yang dicapai bekas Setiausaha Akhbar, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilihat cemerlang dengan memperoleh semua A bagi keputusan peperiksaan UPSR.

Manakala, pencapaian sama turut dicapai oleh Sock Tao bagi peperiksaan SPM.

Dalam pada itu, Siew Fook berkata, dalam isu tersebut netizen memberikan sedikit tanda tanya mengenai diploma dan sarjana yang diperoleh calon PN.

Katanya, pertanyaan itu sepatutnya dijawab oleh PN dan tidak perlu mengalihkan perhatian dengan menyasarkan kepada calon PH pula.

“Dia jawab jelah tunjuk fakta…tu je cukup. kita tiada niat dan minat untuk buat character assasination, that was never our way,” ujarnya.

“Kita hanya promosikan diri kita, kita tak jatuhkan maruah orang lain,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast